AES Tujuan Menyelamat Bukan Menghukum


Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)adalah merupakan salah satu daripada usaha pihak kerajaan dalam mengurangkan kesalahan lalu lintas di samping mendidik pemanduan berhemah di kalangan warganegara Malaysia. Rata-ratanya sering mempersoalkan keberkesanan sistem baru ini dan adakah ia relevan dilaksanakan dalam masa sekarang. Untuk menjawab persoalan tersebut kita boleh melihat keberkesanan AES ini di beberapa buah negara maju seperti Perancis dan Jerman. Misalnya di Perancis sistem ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 27 peratus setelah tiga tahun perlaksanaannya. Begitu juga dengan negara Jerman di mana peratusan pematuhan jalan raya meningkat sehingga 80 peratus. Keadaan ini memperlihatkan kesan yang baik selepas penggunaan sistem ini.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2011 sebanyak 450, 000 kes kemalangan yang telah berlaku di negara ini yang mana sebanyak 6,877 kes melibatkan kematian. Ini adalah merupakan jumlah kes kemalangan dan kadar kematian yang tinggi akibat daripada kemalangan jalan raya. Oleh demikian, pelaksanaan AES dilihat perlu dilakukan supaya pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan akan di denda sekiranya melakukan kesalahan undang-undang keselamatan jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna yang lain.

Kemalangan maut yang sering berlaku akibat memandu terlalu laju adalah merupakan salah satu daripada punca kemalangan di Malaysia. Justeru itu, dengan AES ini terbukti dapat mencegah tabiat memandu laju di kalangan pengguna jalan raya kerana kadar denda yang dikenakan RM300 setiap satu kesalahan tanpa ada rayuan pengurangan. Keadaan ini bukanlah memperlihatkan pihak kerajaan zalim atau menghukum pengguna jalan raya dengan denda yang tinggi tetapi dengan denda yang sedemikian, ia dapat membentuk pematuhan pemanduan berhemah dalam jangka masa panjang di negara ini.

Selain itu, kos pemasangan yang tinggi sebanyak RM717 juta sering kali menjadi persoalan kepada banyak pihak. Kos sebanyak ini bukanlah hanya tertumpu pada harga kamera dan pemasangan Sistem AES tersebut tetapi, ia melibatkan kos penyelenggaraan, baik pulih dan kerosakan-kerosakan lain. Sebagai contoh dalam insiden di mana Kamera AES ini telah dirempuh dan mengalami kerosakan dan yang terbaru kejadian di Selangor di mana kamera AES telah disimbah dengan cat merah. Keadaan ini juga meliputi sebagaian kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung oleh syarikat yang berkenaan.

Bagi fasa pertama kamera AES ini telah beroperasi di 14 lokasi kawasan-kawasan yang mana mempunyai kadar kemalangan yang tinggi dan bertujuan untuk menggurangkan kemalangan supaya pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan had laju yang di tetapkan. Selain itu, papan tanda amaran zon operasi kamera juga diletakkan dua atau tiga kilometer sebelum ke lokasi kamera bagi mengelakkan penganiayaan terhadap pemandu dan pengguna jalan raya yang lain. Dengan peringatan yang diletakkan itu akan mengingatkan pemandu bahawa mereka sedang memasuki zon AES dan perlu berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Kesimpulanya, langkah yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan sistem AES ini dilihat sangat baik dalam mendidik pemanduan yang berhemah di negara Malaysia. Kesan jangka masa pendek akan memperlihatkan pemandu berhati-hati untuk mengelakkan saman manakala kesan jangka masa panjang pula pengguna jalan raya akan mempunyai nilai pemanduan yang berhemah kerana ia telah diterapkan ke dalam diri setiap pengguna jalan raya dan kadar kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan.

Source From : penerangan.gov.my
Share this article :
 

Post a Comment

 
Copyright © 2011. AES Detector - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger