Keputusan pencelah semakan kehakiman AES 13 Februari ini
Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 13 Februari ini keputusan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman oleh syarikat yang bertanggungjawab memasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Beta Tegap Sdn. Bhd. (Beta Tegap).
Beta Tegap mengemukakan semakan kehakiman itu bagi mencabar keputusan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang mengkehendaki syarikat tersebut memohon kebenaran untuk merancang pemasangan tiang dan kamera AES di dua lebuh raya di negeri Selangor.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datuk Zaleha Yusof selepas selesai mendengar hujah pihak-pihak yang terlibat di kamar beliau hari ini.
Jabatan Peguam Negara diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh manakala peguam, Kevin Jeyaraj mewakili Beta Tegap. MPSepang pula diwakili peguam- peguam, Gobind Singh Deo dan Malik Imtiaz Sarwar.
Gobind ketika ditemui pemberita memberitahu, Amarjeet menghujahkan bahawa Jabatan Peguam Negara wajar menjadi pencelah dalam kes itu demi kepentingan awam.
Menurut peguam itu, pihaknya membantah permohonan tersebut dengan alasan jabatan itu gagal menunjukkan kepentingan awam yang diwakilinya dan tidak mempunyai sebarang kepentingan secara langsung dalam permohonan tersebut.
Beta Tegap selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman secara ex-parte (sebelah pihak) pada 12 Disember tahun lalu, dengan menamakan MPSepang sebagai pihak responden.
MPSepang dalam dua pucuk surat bertarikh 19 November tahun lalu memutuskan syarikat itu dikehendaki memohon kebenaran merancang untuk pemasangan AES di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah ke ibu negara berhampiran Ibu Pejabat Lembaga Lebuh Raya Malaysia di Mukim Dengkil, Daerah Sepang.
Kebenaran yang sama juga menurut Beta Tegap diperlukan oleh MPSepang untuk syarikatnya memasang AES di Kilometer 6.6 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) arah ke Kajang, berhampiran stesen minyak Shell Taman Suria Tropika, Dengkil.
Pada 19 Disember 2012, syarikat terbabit telah diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan MPSepang itu.
Kebenaran turut diberikan kepada Beta Tegap untuk membatalkan keputusan MPSepang melalui suratnya bertarikh 6 Disember yang memutuskan pemohon telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 70(13)(c) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Kesalahan itu melibatkan perbuatan mendirikan tiang AES tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada MPSepang dan mengambil tindakan meruntuhkan tiang itu dalam tempoh 14 hari dan menutup (menyarung) AES serta-merta dalam masa 24 jam dari tarikh notis tersebut.
Post a Comment