Peguam Negara akan umum perkembangan prosiding saman AES


PUTRAJAYA 12 Jan. - Jabatan Peguam Negara akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan prosiding saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) selepas semua perkara membabitkan isu itu diselesaikan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, keputusan mengenai perkara itu tidak dapat diumumkan pada masa ini kerana pihaknya perlu bekerjasama dengan semua agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci.

''Saya akan keluarkan kenyataan kepada media selepas semuanya telah tersedia," katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan Tahun Perundangan 2013 di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Jabatan Peguam Negara pada 18 Disember tahun lalu mengeluarkan kenyataan bahawa semua prosiding berkaitan saman AES ditangguh sementara sehingga beberapa isu bersifat undang-undang dan teknikal diselesaikan.

Jabatan itu menegaskan bahawa saman AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah tetapi pihaknya mengambil berat beberapa perkara undang-undang dan teknikal yang ditimbulkan.
Dalam perkembangan lain, Abdul Gani berkata, pihaknya telah memulakan projek perintis Bekerja Dari Rumah pada 1 Oktober lalu dengan melibatkan 36 pegawai yang menunjukkan prestasi kerja yang tinggi.
"Projek ini dijayakan melalui pelbagai inovasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti Sistem Integrasi Pengurusan Perundangan (ILMS) dan Sistem Pengurusan Tugas (TMS)," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) berkata, sehingga 31 Oktober lalu, seramai 40,483 orang telah menerima bantuan daripada 788 peguam panel yayasan tersebut.

"Kerajaan komited untuk menyediakan dana berjumlah RM20 juta pada tahun ini, berbanding RM10 juta pada 2012 dan RM5 juta pada 2011," katanya.

Source From : Utusan Online
Share this article :
 

Post a Comment

 
Copyright © 2011. AES Detector - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger