Sistem Penguatkuasaan Automatik 
(AES)adalah merupakan salah satu daripada usaha pihak kerajaan dalam 
mengurangkan kesalahan lalu lintas di samping mendidik pemanduan 
berhemah di kalangan warganegara Malaysia. Rata-ratanya sering 
mempersoalkan keberkesanan sistem baru ini dan adakah ia relevan 
dilaksanakan dalam masa sekarang. Untuk menjawab persoalan tersebut kita
 boleh melihat keberkesanan AES ini di beberapa buah negara maju seperti
 Perancis dan Jerman. Misalnya di Perancis sistem ini telah dapat 
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 27 peratus setelah 
tiga tahun perlaksanaannya. Begitu juga dengan negara Jerman di mana 
peratusan pematuhan jalan raya meningkat sehingga 80 peratus. Keadaan 
ini memperlihatkan kesan yang baik selepas penggunaan sistem ini.
Berdasarkan statistik Polis Diraja 
Malaysia (PDRM) pada tahun 2011 sebanyak 450, 000 kes kemalangan yang 
telah berlaku di negara ini yang mana sebanyak 6,877 kes melibatkan 
kematian. Ini adalah merupakan jumlah kes kemalangan dan kadar kematian 
yang tinggi akibat daripada kemalangan jalan raya. Oleh demikian, 
pelaksanaan AES dilihat perlu dilakukan supaya pengguna jalan raya akan 
lebih berhati-hati dan akan di denda sekiranya melakukan kesalahan 
undang-undang keselamatan jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna 
yang lain.
Kemalangan maut yang sering berlaku 
akibat memandu terlalu laju adalah merupakan salah satu daripada punca 
kemalangan di Malaysia. Justeru itu, dengan AES ini terbukti dapat 
mencegah tabiat memandu laju di kalangan pengguna jalan raya kerana 
kadar denda yang dikenakan RM300 setiap satu kesalahan tanpa ada rayuan 
pengurangan. Keadaan ini bukanlah memperlihatkan pihak kerajaan zalim 
atau menghukum pengguna jalan raya dengan denda yang tinggi tetapi 
dengan denda yang sedemikian, ia dapat membentuk pematuhan pemanduan 
berhemah dalam jangka masa panjang di negara ini.
Selain itu, kos pemasangan yang tinggi 
sebanyak RM717 juta sering kali menjadi persoalan kepada banyak pihak. 
Kos sebanyak ini bukanlah hanya tertumpu pada harga kamera dan 
pemasangan Sistem AES tersebut tetapi, ia melibatkan kos 
penyelenggaraan, baik pulih dan kerosakan-kerosakan lain. Sebagai contoh
 dalam insiden di mana Kamera AES ini telah dirempuh dan mengalami 
kerosakan dan yang terbaru kejadian di Selangor di mana kamera AES telah
 disimbah dengan cat merah. Keadaan ini juga meliputi sebagaian kos 
penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung oleh syarikat yang berkenaan.
Bagi fasa pertama kamera AES ini telah 
beroperasi di 14 lokasi kawasan-kawasan yang mana mempunyai kadar 
kemalangan yang tinggi dan bertujuan untuk menggurangkan kemalangan 
supaya pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan mematuhi 
peraturan had laju yang di tetapkan. Selain itu, papan tanda amaran zon 
operasi kamera juga diletakkan dua atau tiga kilometer sebelum ke lokasi
 kamera bagi mengelakkan penganiayaan terhadap pemandu dan pengguna 
jalan raya yang lain. Dengan peringatan yang diletakkan itu akan 
mengingatkan pemandu bahawa mereka sedang memasuki zon AES dan perlu 
berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Kesimpulanya, langkah yang dilakukan 
oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan sistem AES ini dilihat sangat 
baik dalam mendidik pemanduan yang berhemah di negara Malaysia. Kesan 
jangka masa pendek akan memperlihatkan pemandu berhati-hati untuk 
mengelakkan saman manakala kesan jangka masa panjang pula pengguna jalan
 raya akan mempunyai nilai pemanduan yang berhemah kerana ia telah 
diterapkan ke dalam diri setiap pengguna jalan raya dan kadar kemalangan
 jalan raya akan dapat dikurangkan.
Source From : penerangan.gov.my



Post a Comment